Boikot Barangan Israel

Boikot Barangan Israel

Tuesday, July 7, 2020

Cik Siti Wan Kembang


Cik Siti Wan Kembang merupakan anakanda Sultan Ahmad (1548-1580) hasil perkahwinan baginda dengan Cik Banum. Bondanya Cik Banum merupakan Puteri Bangsa Nara Diraja Pahang. Pada tahun 1589, Sultan Ahmad telah mangkat meninggalkan Puteri Wan Kembang yang masih kecil. Oleh sebab Puteri Wan Kembang masih kecil, maka diangkat sementera waktu seorang anak raja Johor bernama Raja Hussain sebagai pemangku raja dengan bergelar Sultan Hussain (1580-1610).

Pada tahun 1610, Sultan Hussain pula mangkat. Justeru itu, Puteri Wan Kembang yang sudah dewasa diangkat menjadi Raja Perempuan Kelantan. Paduka Cik Siti dikatakan bersemayam di Gunung Chinta Wangsa yang terletak 27 batu ke tenggara Kuala Krai.

Pada masa pemerintahan baginda, wujud juga sebuah lagi pemerintahan beraja di Jembal (sekitar Kedai Lalat kira-kira 7 batu ke timur Kota Bharu). Raja Jembal yang bernama Raja Loyor mempunyai seorang anak yang bernama Puteri Saadong. Cik Siti Wan Kembang telah memohon kepada Raja Loyor akan Puteri Saadong untuk dijadikan anak angkat dan kemudiannya akan dicadang menjadi bakal raja menggantikan baginda apabila mangkat nanti kerana baginda tidak berkahwin dan tidak mempunyai keturunan untuk mewarisi takhta kerajaan Kelantan.

Setelah Puteri Saadong dewasa, baginda dikahwinkan dengan sepupunya iaitu Raja Abdullah. Raja Abdullah (1667-1671) memerintah di Kota Jelasin atau Kota Mahligai. Cik Siti Wan Kembang pula berpindah bersemayam di Gunung Ayam (terletak kira-kira 17 batu ke barat Gua Musang) sehingga ke akhir hayat baginda.


Rujukan:

Abdul Halim Nasir, 1979. Panduan Ke Tempat-tempat Bersejarah Kelantan. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium, hlm. 32-52.